Projek Rintis Dasar Gaji Progresif Ambil Kira Perkara Berkaitan Dasar Dan Aspek Lain – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan bahawa sehingga 3 Oktober, sebanyak 1,892 majikan telah membuka akaun manakala sebanyak 776 (78%) majikan juga telah memohon untuk menyertai Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).

Menurut beliau projek rintis berkenaan telah dilaksanakan mulai Jun hingga Ogos 2024 yang bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan.

“Projek rintis DGP mensasarkan 1,000 penyertaan majikan daripada lima sektor. DGP mempunyai tiga ciri utama iaitu penglibatan majikan secara sukarela, insentif daripada kerajaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan produktiviti.

“Manakala kriteria pemilihan majikan untuk menyertai projek rintis DGP adalah berdasarkan kepada syarat-syarat antara lain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan. Keduanya berdaftar dengan PERKESO dan KWSP manakala ketiga bukan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional.

“Seterusnya tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia selain menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan (contract of service) dan menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji RM1,500 hingga RM4,999 sebulan, manakala penyertaan dibuka kepada semua sektor kecuali sektor pentadbiran awam dan pertahanan serta aktiviti sosial wajib serta aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu  Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman membangkitkan soalan mengenai sejauh manakah kadar penyertaan syarikat dalam projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga Oktober 2024 serta kriteria pemilihan syarikat berkenaan dan apakah strategi Kementerian bagi memastikan kemampanan DGP selepas tamatnya tempoh setahun projek rintis.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan penilaian terkini terhadap Projek Perintis Dasar Gaji Progresif (PWP) yang telah dilaksanakan setakat ini dan apakah cabaran yang dijangka oleh Kerajaan dalam meningkatkan gaji minima di Malaysia ke paras yang lebih bermaruah

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis seterusnya menambah bagi memastikan kemampanan DGP, penilaian projek rintis dibuat dengan mengambil kira perkara berkaitan dasar, ketersediaan sistem, buku panduan gaji dan panduan latihan.

Katanya lagi, penilaian ini akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif DGP dan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan November 2024 bagi mendapatkan hala tuju pelaksanaan menyeluruh dasar ini.

“Antara isu dan cabaran pelaksanaan DGP adalah ketidakpastian pasca projek rintis dan kurangnya kefahaman majikan dan pekerja berhubung klasifikasi Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO).

“Selain itu, ketersediaan sistem portal pendaftaran DGP juga perlu ditambah baik bagi memudahkan navigasi pengguna. Di samping itu, didapati gaji peringkat permulaan dalam DGP tidak membezakan antara siswazah baru dan pekerja yang bertukar syarikat.

“Seterusnya, pihak majikan berdepan dengan kekangan untuk menyediakan dana bagi menghantar pekerja menghadiri kursus bagi memenuhi keperluan kemahiran dan latihan dalam tempoh 21 jam mengikut rangka kerja DGP yang telah ditetapkan,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.