Bajet 2025 Diharap Tumpu Pembangunan Infrastruktur, Pelancongan Dan Pendidikan – Haris

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Persidangan Dewan Rakyat pada kali ini tentunya dinanti-nantikan rakyat Malaysia apabila akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Harapan tinggi sudah tentunya kepada bajet kali ini apabila ia sebagai cerminan kepada masa hadapan rakyat bagi tahun hadapan yang turut sama akan membawa impak kepada tahun-tahun mendatang.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah beliau melihat sudah tentunya bajet yang akan dibawa merangkumi keseluruhan lapisan masyarakat di dalam dan luar bandar.

Bagaimanapun katanya, pembangunan infrastruktur antara beberapa aspek yang perlu menjadi keutamaan kerajaan khususnya menfokuskan kepada Jerantut.

“Harapan saya untuk Bajet 2025 terutama kepada masyarakat Jerantut agar ia dapat memperkukuhkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, dan capaian internet yang lebih meluas.

“Ini penting untuk memudahkan perhubungan serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi daerah,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Haris yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata nilai tambah pada sektor pelancongan juga dilihat sebagai instrumen penting di kawasan tersebut.

Menerusi naik taraf pelancongan ia sekaligus memberikan peluang kepada penduduk tempatan dalam menambah peluang ekonomi.

“Selain itu, sokongan terhadap sektor pelancongan alam semula jadi seperti Taman Negara perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong dan menjana pendapatan tempatan,” ujar beliau.

Selain itu beliau juga turut sama berharap kerajaan dapat memberi tumpuan dalam meningkatan kualiti pendidikan, khususnya di luar bandar melalui program kemahiran untuk golongan belia dan bantuan kepada sektor pertanian.

“Langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan komuniti luar bandar seperti di Jerantut terus terbela,” ujar beliau.

Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.