Khidmat Kepada Rakyat Tidak Asing Bagi UMNO Sipitang
SIPITANG, 16 Okt – UMNO tetap relevan sebagai sebuah parti yang tulen berpaksikan tanggungjawab, amanah serta Ikhlas menjaga kepentingan rakyat tanpa musim.
Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berkata, budaya peduli rakyat yang sudah sebati dengan perjuangan parti selama ini terus dilaksanakan walaupun pemimpinnya bersilih berganti.
“Kesatuan sesama pemimpin UMNO bermula dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi semata-mata memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan mencongak usaha pembangunan selepas merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan program ziarah dan menyampaikan bantuan bakul makanan di Zon Pantai dan beberapa buah kampung yang berdekatan di sini, kelmarin.
Sebelum itu Abd Rahman bersama rombongan UMNO Bahagian Sipitang juga turut mengunjungi keluarga Kewa Are Kapong di Kampung Banting di sini dan menyampaikan bantuan atap zink serta bakul makanan kepada keluarga terlibat berikutan rumah keluarga ini mengalami kerosakan teruk selepas dilanda angin ribut minggu lalu.
Menurut Abd Rahman walaupun bukan berjawatan sebagai wakil rakyat namun tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat yang dilanda musibah akan menjadi keutamaan UMNO.
“Sumbangan kita tidaklah sebesar mana, namun kita berharap dengan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang terlibat selain dapat merapatkan hubungan silaturahim antara kepimpinan UMNO dan masyarakat setempat,” katanya.
Abd Rahman yang juga Pengerusi Penasihat Pusat GiatMARA Sipitang berkata, senario kehidupan rakyat hari ini amat mencabar dengan kenaikan kos sara hidup justeru aspek kebajikan perlu diberi tumpuan sejajar perbezaan jurang pendapatan, ekonomi, kemajuan pendidikan mahupun ditimpa penyakit dan bencana alam seperti banjir serta kebakaran.
“Senario ini antara cabaran UMNO di peringkat bahagian dan perlu dipikul dengan jujur, ikhlas dan berintegriti oleh ahli jawatankuasa termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sepanjang masa,” katanya.
Abd Rahman berkata, melihat kepada senario ini rakyat sebenarnya masih memerlukan pembelaan dari kerajaan.
“Justeru kenyataan garis kemiskinan tegar di Sabah sudah diatasi oleh pihak-pihak berkenaan sebelum ini lebih kepada kenyataan retorik kerana apabila turun ke lapangan keadaannya jauh bebeza dari apa yang diuar-uarkan.”
Turut bersama dalam program ziarah tersebut ialah Setiausaha UMNO Bahagian, Jaini Puasa; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Amuilin Junsin dan Bendahari bahagian, Abdullah Lokman. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid