Ahli UMNO Perlu Aktif Tangkis Fitnah Pembangkang – Omar
TASEK GELUGOR, 17 Okt – Ahli UMNO mesti lebih aktif menangkis fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang selain bertanggungjawab menjadi benteng kepada perjuangan parti.
Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Omar Abdul Hamid berkata jentera penerangan hendaklah sentiasa bersedia dengan fakta tepat dalam berdepan tohmahan pembangkang serta menggunakan pendekatan baharu yang pelbagai.
“Akar umbi parti perlu menangkis segala serangan-serangan dan fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang dan terus melaksanakannya sehingalah kepada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Penerangan UMNO di Dewan UMNO Bahagian Tasek Gelugor, pada Ahad.
Ujarnya, dengan adanya sesi sebegini, anggota akar umbi terdedah dengan cara bagaimana hendak menangkis segala serangan-serangan serta tindakan dari pembangkang.
“Sesi penerangan ini adalah untuk persiapan pilihan raya yang akan datang dan untuk kita hadapi senario politik yang dinamik masa kini. Kita perlu bekerja lebih keras bagi menghadapi segala rintangan yang bakal dilalui nanti.
“UMNO Tasek Gelugor, kita juga akan terus mengukuhkan kembali gerak kerja terutamanya dari akar umbi supaya UMNO menjadi gemilang, cemerlang dan berjaya menjadi ‘hero’ dalam perjuangan rakyat. Ini seterusnya membuka peluang dan ruang pada ahli parti dan pemimpin-pemimpin untuk mencapai kejayaan ini,” katanya.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad; kepimpinan bahagian dan seluruh jentera penerangan UMNO Tasek Gelugor.
Mengulas lanjut beliau menggesa ahli parti untuk sentiasa menjawab pelbagai tohmahan pembangkang kerana mereka mengelirukan rakyat dan jika lambat ditangkis akan menjadi persepsi yang sukar diperbetulkan.
“Mereka hidup dengan fitnah, selagi ahli parti tidak menjawab maka akan timbulkan lagi banyak perkara. Pembangkang akan lebih suka kalau UMNO tidak menjawab dan akhirnya membentuk persepsi bahawa apa yang difitnahkan itu adalah kebenaran,” tambah beliau.
Untuk rekod, UMNO Bahagian Tasek Gelugor merupakan bahagian ke-29 diadakan Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.
Dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ia diadakan dengan pelbagai pengisian dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini. – UMNO Online