Kerajaan Negeri Pahang Akan Sentiasa Perkukuh Tadbir Urus Baik – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memperkukuhkan urus tadbir yang baik terutamanya dalam memastikan kewangan negeri diuruskan dengan baik.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) yang dikurniakan kepada Negeri Pahang mencerminkan ketelusan dan integriti negeri tersebut dalam menguruskan kewangan negeri.

“Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas penerimaan Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah diumumkan oleh Ketua Audit Negara, pada Isnin.

“Penerimaan sijil ini adalah satu pencapaian yang amat bermakna dan bukti nyata terhadap kecekapan, ketelusan, dan integriti dalam pengurusan kewangan Negeri Pahang.

“Ia juga mencerminkan komitmen penuh seluruh warga kerja kerajaan negeri dalam memastikan setiap prosedur kewangan dilaksanakan dengan cermat dan berhemah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut berharap agar Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah untuk memacu pembangunan di negeri tersebut.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memperkukuhkan tadbir urus yang baik (good governance) dan memastikan setiap sen wang negeri diuruskan dengan baik.

“Semoga Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah dengan lebih mantap demi memacu pembangunan negeri yang makmur untuk kesejahteraan rakyat. Insya-Allah,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan lima negeri menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah dikemukakan antara Januari hingga Jun 2024.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Kerajaan dan Agensi Negeri yang dibentangkan di Parlimen, hari ini berkata, lima negeri berkenaan adalah Johor, Pahang, Perak, Sarawak, dan Sabah.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah daripada keseluruhan 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang telah dikemukakan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.