Sayap UMNO Perlu Saling Melengkapi, Pastikan Gerak Kerja Tersusun Depani PRN – Bolkiah Ismail

PITAS, 15 Okt – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang kini di ambang pintu, semua pihak khususnya Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu teliti dalam menyusun strategi dan gerak kerja agar lebih kemas serta tersusun untuk mencapai sasaran.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kudat, Datuk Bolkiah Ismail berkata, dalam hal ini satu koordinasi pergerakan tiga sayap parti ini perlu dicapai bagi memastikan keberkesanan gerak yang lebih sistemetik sebelum memasuki medan peperangan pilihan raya sebenar.

“Koordinasi ini perlu dibincangkan serta dimuktamadkan lebih awal agar gerak kerja teratur dan tidak ada pertindihan, juga mengelak persediaan pada saat-saat akhir yang boleh merencatkan gerak kerja kempen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) N3 Pitas di pejabat UMNO di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha UMNO Bahagian Kudat, Awang Lahaji Rokimin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kudat, Normalah Rasik.

Bolkiah yang juga Pengerusi Penyelaras UMNO DUN N3 Pitas, berkata jika ada sebarang sistem baharu atau SOP yang ingin digunakan, ia perlu laksanakan di peringkat awal dengan berkesan dan bukan pada saat akhir yang mengundang kerencatan gerak kerja.

Menurut beliau amat penting gerak kerja berpasukan menjadi keutamaan parti kerana ia adalah penentu pencapaian UMNO.

“Kebersamaan perlu disusun di semua peringkat, bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi. Jangan ada lagi yang bergerak secara solo. Tiga sayap utama parti perlu bekerjasama dan saling lengkap-melengkapi,” ujarnya.

Ujar Bolkiah, semua kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan ketua-ketua cawangan UMNO bertanggungjawab menjadi agen perubahan yang mencorak pelan strategik lebih mampan dan dipersetujui bersama.

“Ini adalah bagi memastikan pengurusan penyampaian perkhidmatan yang tangkas dan berprestasi cemerlang agar UMNO terus diterima dan relevan sepanjang zaman.”

Dalam pada itu Bolkiah turut mengingatkan ketua-ketua cawangan agar memulakan gerak kerja yang pantas dan efisyen terutamanya menyusun jawatankuasa di semua peringkat serta mengenal pasti jumlah ahli yang berdaftar sebagai pengundi di cawangan masing-masing termasuk pengundi luar.

Pada majlis tersebut Bolkiah juga turut menyerahkan fail-fail gerak kerja kepada ketua-ketua Penyelaras UMNO bagi kawasan DUN N.3 pitas. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.