Hormati Proses Demokrasi, Perlu Matang Dan Tanggungjawab Ketika Berbicara Demi Integriti Politik – Azalina
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap ahli politik di negara ini menghormati proses demokrasi dalam arena politik, khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya.
Beliau berkata ini termasuk sikap matang dan penuh tanggungjawab ketika berbicara soal keputusan pilihan raya bagi memelihara integriti politik.
“Saya ingin menekankan pentingnya ketelusan dan menghormati proses demokrasi dalam arena politik, khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya.
“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kita sewajarnya bertindak dengan penuh tanggungjawab, terutama ketika berbicara soal keputusan pilihan raya bagi memelihara integriti politik,” katanya.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian pada hantaran di Facebook, bagi merujuk kepada sebuah klip podsiar yang memaparkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Mengulas lanjut, beliau berkata Shamsul Iskandar seharusnya berjiwa besar dengan menerima keputusan tersebut dan menggunakan saluran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemukakan bantahan.
Menurutnya ia sebagai gambaran komitmen terhadap integriti dan profesionalisme politik.
“Justeru, saya ingin mengingatkan Shamsul Iskandar agar dapat memberikan tumpuan kepada kestabilan politik negara.
“Elak daripada sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan, kerana ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang tidak wajar dan ini tentunya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu, Azalina berkata beliau serta Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta keseluruhan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tetap komited dan berkeyakinan penuh terhadap proses demokrasi dan bersedia menerima apa-apa jua keputusan yang dibuat oleh pengundi. – UMNO Online