Akar Umbi Sentiasa Pertahan Perjuangan UMNO… Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yakin bahawa akar umbi akan sentiasa mempertahankan perjuangan parti supaya agenda membela agama, bangsa dan tanah air diteruskan.

Jelasnya, UMNO Bahagian Padang Serai menjadi destinasi ke-53 untuk Sesi Jelajah Akar Umbi UMNO di seluruh negara yang diadakan pada Sabtu.

“Pagi ini saya bertolak seawal jam 5.00 pagi dari Kuala Lumpur menuju ke Kedah untuk menyertai program bersama-sama akar umbi dalam Retreat UMNO Bahagian Padang Serai. Ini adalah bahagian yang ke-53 dalam Sesi Jelajah Akar Umbi UMNO ke seluruh negara.

“Alhamdulillah, di kesempatan ini dapat memberi ruang untuk berdialog dan berkongsi pandangan bersama ahli-ahli di peringkat akar umbi berkaitan isu-isu semasa. Terima kasih Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib, dan kepimpinan UMNO Bahagian atas penganjuran retreat yang amat baik ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah berdasarkan kepada perjanjian agar kestabilan dan kesejahteraan negara dapat diwujudkan.

“Kerajaan Perpaduan yang terbentuk adalah berdasarkan perjanjian yang jelas untuk menjunjung tinggi peruntukan Perlembagaan, khususnya berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Perjanjian ini menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara, sambil menghormati kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita. Insya-Allah, semoga dengan retreat ini terus menyuntik semangat kepada semua untuk terus bekerja secara kolektif dalam memperjuangkan aspirasi rakyat.

“…dan UMNO di akar umbi akan terus pertahankan perjuangan parti keramat melayu, UMNO ini agar agenda agama, bangsa dan pembangunan tanah air tercinta ini terus dipertahankan,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.