Ahmad Zahid Harap Hari Sukan Negara Dapat Kukuhkan Semangat Kekitaan, Perpaduan

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Hari Sukan Negara dapat mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara yang berlangsung pada hari ini sehingga 13 Oktober di Putrajaya.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 yang berlangsung di Putrajaya dari hari ini hingga 13 Oktober 2024. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda disini!

“Berkonsepkan ‘Malaysia Madani: Sukan Baharu dan Sukan Rakyat’, HSN2024 bukan sekadar sambutan sukan, tetapi juga sebagai satu platform untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui semangat kesukanan dan saling hormat-menghormati,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengajak seluruh rakyat untuk meraikan sukan di samping mengeratkan silaturahim.

“Sambutan ini juga diharap dapat mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan dalam masyarakat disamping untuk membudayakan masyarakat dengan amalan gaya hidup yang cergas dan aktif.

“Ayuh bersama kita raikan sukan, sihatkan diri dan mengeratkan silaturahim sesama kita rakyat Malaysia!” katanya.

Hari Sukan Negara diadakan setiap tahun pada hari Sabtu minggu kedua pada bulan Oktober dengan objektif utama untuk mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan penduduknya. Hari Sukan Negara yang pertama diadakan pada tahun 2015.

Bagi tahun 2024, terdapat 64 acara berlangsung seperti Neon Putrajaya, Larian Fit Malaysia dan pelbagai lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.