JPKKP Tidak Rosakkan Keharmonian Dan Perpaduan, Tolak Persepsi Negatif – Jeffery Nor

PUTATAN, 11 Okt – Tidak ada pihak berhak meminta Kerajaan Pusat untuk menarik balik pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Negeri Sabah.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata keputusan untuk mewujudkan JPKKP di negeri ini telah diputuskan oleh Kerajaan Pusat bertujuan bagi mengimbangi dan membantu memperkasakan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

“Keputusan ini juga melihat kepada ketidakadilan pihak tertentu dalam menyedia dan menyalurkan peruntukan ke kawasan luar bandar ekoran ada kawasan-kawasan yang di wakili oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) seakan dianaktirikan dengan tidak menyediakan peruntukan, selain tiada keupayaan dan kesungguhan bagi membangunkan kawasan luar bandar.

“Ini dapat dilihat daripada pelbagai isu terutamanya dalam penyediaan infrastruktur asas, jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik selain isu kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, di sini.

Jeffery berkata penubuhan JPKKP di Sabah lebih banyak memberikan manfaat kepada rakyat khususnya di luar bandar.

Ujarnya, Kerajaan Pusat turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun kepada setiap JPKKP yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pelaksanaan projek-projek kecil kampung selain untuk program-program kemahiran yang menjana pendapatan penduduk.

“Maka tidak timbul isu penubuhan JPKKP ini boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini kerana ia dan JKKK yang diselenggara oleh kerajaan negeri mempunyai fungsi yang berbeza.

“Jika ada berpandangan penubuhan JPKKP di negeri ini boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah maka itu hanya pandangan sempit dan persepsi negatif yang lebih kepada kepentingan politik mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak yang mengesa agar Kerajaan Pusat menarik balik serta-merta pelantikan jawatankuasa JPKKP di negeri ini dengan dakwaan mengganggu suasana harmoni di kalangan komponen Kerajaan Perpaduan di Sabah dan boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.

“Siapa mereka yang berhak mendesak Kerajaan Pusat untuk menarik balik pelantikan JPKKP di negeri ini, selain menjadi ‘tukang atau jurucakap’ kepada pihak tertentu di negeri ini dengan tujuan untuk merosakkan imej UMNO/BN di Sabah?

“Desakan ini hanya bermotifkan politik, pelantikan JPKKP walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri tapi ia diiktiraf oleh Kerajaan Pusat,” jelas Jeffery.

Sehubungan itu, Jeffery meminta semua pengerusi-pengerusi JPKKP di negeri ini yang telah menerima watikah pelantikan masing-masing untuk meneruskan amanah serta khidmat mereka.

“Jangan hiraukan kenyataan toksid dari mereka yang membuat kenyataan sekadar ‘mencari makan’ dari pihak tertentu di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.