Hampir 1,500 Sertai Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Mental, Pemerkasaan Wanita – Noraini

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Hampir 1,500 peserta telah menyertai Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Mental dan Pemerkasaan Wanita yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah telah berkenan berangkat ke majlis tersebut yang diadakan pada Khamis.

“Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah telah berkenan berangkat ke Majlis Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Mental dan Pemerkasaan Wanita bersama Dr Rania Awaad yang diadakan pada Khamis.

“Saya bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda.

“Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan meluangkan masa mengikuti perkongsian ilmu kesejahteraan mental disampaikan Dr Rania Awaad yang merupakan Profesor Klinikal Psikiatri dan Sains Tingkah Laku Pengamalan Penjagaan Kesihatan Universiti Stanford,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, persidangan tersebut dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan peserta dengan alat serta sumber bagi meningkatkan kesejahteraan mental.

“Dr Rania Awaad adalah perintis penubuhan Lembaga Penasihat Komuniti Kesihatan Mental Muslim (BAMMH CAB) yang pertama di Amerika Syarikat.

“Persidangan Antarabangsa mengenai Kesejahteraan Mental dan Pemerkasaan Wanita anjuran KPWKM dan Institut Sosial Malaysia yang dihadiri hampir 1500 orang ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, di samping menyediakan peserta dengan alat dan sumber untuk meningkatkan kesejahteraan mental mereka.

“Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit dan pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah KPWKM,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.