Ahmad Zahid Seru Ahli Parlimen Terus Efektif, Bawa Kepentingan Rakyat Penuh Tanggungjawab

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap wakil rakyat parti untuk terus memainkan peranan berkesan pada persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Kata beliau melalui pendekatan tersebut aspirasi membela rakyat dapat terus dilaksanakan kerajaan melalui dasar-dasar kompeten yang selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

“Saya berharap agar semua Ahli Parlimen BN dapat memainkan peranan dengan efektif dalam sidang Parlimen kali ini, membawa suara dan kepentingan rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada Pre-council BN yang dihadiri Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Memanfaatkan perjumpaan tersebut, turut disertakan pembentangan daripada Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri daripada BN mengenai isu-isu yang dibawa pada persidangan Parlimen pada kali ini.

“Dalam majlis ini kami telah mendengar pembentangan daripada Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan pemimpin BN mengenai isu-isu yang bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

“Semasa berucap, saya menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci kepada pembangunan negara dan kita perlu komited untuk terus mendukung usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” ujar beliau.

Untuk rekod persidangan Parlimen mesyuarat ketiga penggal ke-3, Parlimen ke-15 akan bermula pada Isnin ini sehingga 12 Disember, selain Bajet 2025 akan mengambil tempat pada 18 Oktober yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79