Penerangan UMNO Teruskan Jelajah, Jelas Isu Semasa Di Tasek Gelugor

TASEK GELUGOR, 13 Sept – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan misi untuk memberi penjelasan isu-isu semasa kepada ahli dan akar umbi UMNO Bahagian Tasek Gelugor, malam ini.

Siri jelajah tersebut diadakan selepas ia ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini.

Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi platform tuntas untuk memberi penjelasan pada ahli parti.

Bertempat di Dewan UMNO Bahagian Tasek Gelugor, program tersebut dilaksana tertib,  dimulakan dengan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ dan diikuti bacaan doa.

Majlis kemudian bermula dengan ucapan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Omar Abdul Hamid, Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Mohd Noor Ahmad dan ia diteruskan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata peserta yang ditemui meluahkan keterujaan mereka dengan pencerahan daripada program jelajah ini.

Menerusi program ini, penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli dan akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping menetapkan hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti.

Pelbagai pengisian dan sesi penerangan disediakan oleh pihak Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini serta memantapkan lagi komunikasi serta penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Selain itu, anggota penerangan parti juga diangkat menjadi perisai untuk semua ahli dan pendukung parti bagi menangkis pelbagai dakwaan buruk, tohmahan negatif serta fitnah yang dilemparkan pihak lawan.

Ia juga sebagai persediaan dan persiapan jentera parti khususnya Penerangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.