Belanjawan 2025: Memacu Ekonomi Dan Perkasakan Nilai Ringgit – Hilmi Elias

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Belanjawan 2025 merupakan landasan yang penting bagi Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan ekonominya di pentas global.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, keutamaan dalam Belanjawan 2025 perlu ke arah memperkasakan ekosistem ekonomi yang boleh menarik pelaburan berteknologi tinggi sekaligus memacu penciptaan peluang pekerjaan berkualiti bagi rakyat Malaysia.

Jelasnya, Belanjawan 2025 nanti pasti akan menjadi tumpuan kerana rakyat mahu melihat kali ini bagaimana cara kerajaan akan berbelanja dan menguruskan negara.

“Sektor mana akan menjadi tumpuan kerajaan? Bagaimana ruang dapat digunakan rakyat sebaik mungkin nanti apabila bajet diumumkan.

“Sekira semuanya diumumkan secara besar-besaran tetapi rakyat di bawah seperti tidak faham dan merasakan segala apa bajet yang diumumkan dan kemungkinan besar bajet ini tidak sampai ke bawah, maka ianya akan memberi kesan tidak baik.

“Bajet kali ini bukan sekadar dapat meyakinkan pelabur-pelabur luar untuk datang melabur di negara ini bagi merancakkan ekonomi negara serta memperkukuhkan nilai ringgit, tetapi dalam masa sama dapat memberi kelegaan kepada rakyat bawahan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, Hilmi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh harap kerajaan dapat menumpukan dan mengekalkan kemampanan fiskal bagi memacu pembangunan ekonomi serta mengukuhkan kekuatan ringgit.

“Kita telah lihat pemulihan ringgit bermula sebelum Rizab Persekutuan (Fed) mengumumkan pemotongan kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan pasaran. Ia bertindak atas jangkaan bahawa pemotongan akan berlaku, dan kemudian terus mengukuhkan mata wang Malaysia.

“Paling penting tahap kestabilan politik yang dialami oleh Malaysia berbanding negara serantau lain dan secara tidak langsung dapat menambah kepada trend positif,” ujarnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 dengan tema ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur dan Rakyat Sejahtera’ akan membentangkan belanjawan pada 18 Oktober nanti.

Pembentangan ini akan diadakan di Dewan Rakyat dan sebagai platform penting untuk membawa isu-isu rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.