Lawatan Kerja: MINDEF Akan Terus Berusaha Memodenkan Aset Pertahanan

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) akan terus berusaha untuk memodenkan aset pertahanan negara di samping mengembangkan industri pertahanan tempatan.

Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan beliau mengakhiri lawatan kerja selama lima hari ke Republik Korea dengan kunjungan industri.

“Mengakhiri lawatan kerja lima hari ke Republik Korea dengan mengadakan kunjungan industri ke Korea Aerospace Industries (KAI), Sacheon dan Hanwha Aerospace, Changwon.

“Kedua-dua syarikat pengeluar aset ketenteraan ini bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat tempur ringan FA-50M milik TUDM yang akan diserahkan bermula tahun 2026. Perolehan bagi 18 pesawat ini telah dimuktamadkan Mei tahun lalu dengan kontrak bernilai hampir RM4 bilion,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, di KAI beliau dapat melihat sendiri kemajuan pembinaan pesawat FA-50M yang kini sudah 39 peratus siap.

“Di KAI, saya berpeluang melihat demonstrasi produk pertahanan, fasiliti pembuatan serta mendengar sendiri kemajuan pembinaan pesawat FA-50M. Alhamdulillah, kesemuanya dalam keadaan baik, mengikut jadual dan kini 39 peratus siap.

“Perolehan ini nescaya membolehkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditingkatkan.

“Manakala Hanwha pula merupakan syarikat yang membina enjin F404 bagi FA-50M yang diperoleh. Saya mengambil peluang melawat fasiliti pembuatannya dan mendengar pembentangan syarikat berkenaan produk serta sistem pertahanan yang dibangunkan, merangkumi domain darat, laut, udara juga angkasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa ruang dan peluang yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya demi memastikan industri tempatan dapat dibangunkan dan mencapai ‘self-reliance’.

“Selaras dengan hasrat negara, MINDEF akan terus berusaha memodenkan aset-aset pertahanan dan mengembangkan industri pertahanan tempatan.

“Ruang dan peluang yang ada melalui perolehan seperti ini, perlu dimanfaatkan sebaiknya, misalnya dalam program ‘offset’ dan pemindahan teknologi.

“Kesemua ini bagi memastikan industri tempatan kita dapat dibangunkan dan matlamat negara ke arah ‘self-reliance’ dalam pertahanan dapat dicapai,” katanya lagi.

Untuk rekod, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Korea bermula pada 9 hingga 12 September lalu.

Mohamed Khaled turut mengadakan lawatan rasmi ke Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI), untuk mengeratkan hubungan syarikat industri pertahanan antara kedua negara.

Sebelum ini, pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.

Pesawat itu adalah yang paling moden dan berkeupayaan berbanding varian diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.