Kerajaan Perlu Lebih Tegas Tangani Isu 3R – Mohd Yussof

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R (agama, bangsa, raja) untuk memperoleh sokongan rakyat.

Veteran UMNO, Tan Sri Datuk Seri Dr Mohd Yussof Latiff berkata, semua pihak perlu menyedari akan kesan yang akan berlaku sekiranya mereka memainkan isu-isu sensitif.

“Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik yang masih menggunakan isu 3R untuk menagih sokongan politik.

“Semua pihak termasuk siber trooper dan ahli politik harus sedar akan bahayanya memainkan isu-isu perkauman, agama… menyentuh institusi raja kerana ia akan menguris hati dan membangkitkan sentimen perkauman.

“Kita boleh bercakap atas hak agama dan bangsa sendiri dengan menggunakan platform yang betul. Tetapi, jangan menyentuh bangsa dan agama orang lain yang boleh menimbulkan sikap membenci sesama rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, peristiwa rusuhan kaum yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu mestilah dijadikan pengajaran kerana ia akan memberikan kesan buruk terhadap negara.

“Sikap sesetengah ahli politik bercakap isu 3R ikut sesuka hati adalah satu
perbuatan yang konyol dan polis perlu mengambil tindakan serta mendakwa ke mahkamah supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Apa nak jadi dengan negara ini jika rakyat dan orang politik dibiarkan bebas bercakap isu-isu sensitif atas alasan kebebasan bersuara? Saya telah menyaksikan peristiwa rusuhan kaum di negara ini dan melihatkan sendiri kesan buruk akibatnya sehingga melumpuhkan ekonomi negara dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan lampau,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa kerajaan perlu mewujudkan Mahkamah Perlembagaan supaya proses mendakwa dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Disebabkan itulah kerajaan perlu mewujudkan segera Mahkamah Perlembagaan supaya proses mendakwa dan menghukum dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan cepat.

“Selagi kerajaan berlembut dengan isu 3R ini maka selagi itulah isu-isu sensisitif akan menjadi modal politik pihak tertentu,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.