Wanita USIA Perlu Pelbagaikan Program, Terutama Bidang Ekonomi – Siti Aminah

SEMPORNA, 13 Sept – Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) digesa agar mempelbagai program selain program-program dakwah dan keagamaan yang menjadi keutamaan pertubuhan tersebut.

Ketua Wanita (USIA) Sabah Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, dalam perkembangan dunia yang semakin mencabar terutamanya dalam bidang ekonomi golongan wanita perlu lebih proaktif melaksanakan pelbagai program bukan sahaja anjuran agensi kerajaan, tetapi melibatkan program yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Wanita USIA.

“Selain program-program dakwah yang menjadi keutamaan Wanita (USIA), kita juga perlu mempelbagai program yang melibatkan penyertaan wanita khususnya suri-suri rumah.

“Terutamanya dalam bidang perniagaan seperti menganjurkan program-program kemahiran sama ada untuk jangka pendek atau panjang seperti dalam bidang jahitan, kraftangan, makanan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program Jelajah Ramah Mesra Wanita USIA Pusat bersama Wanita USIA Bahagian Semporna dekat sini kemarin.

Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, usaha ini boleh dilaksanakan oleh Wanita USIA di semua bahagian dengan menjalin kerjasama atau secara berkolaborasi bersama jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang banyak melaksanakan program kemahiran khusus untuk golongan wanita.

“Kita ingin melihat golongan wanita bukan sahaja sebagai penggerak program dakwah namun dalam masa yang sama mereka juga berpeluang meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui penglibatan mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menambah penglibatan golongan wanita dalam pelbagai program mampu menyemarakkan hubungan kemasyarakatan yang terjalin antara mereka dan komuniti setempat.

“Wanita mempunyai aura tersendiri dalam setiap program yang disertai sehingga membawa kepada kejayaan sesuatu program yang dianjurkan,” katanya.

Turut hadir Naib Ketua Wanita USIA Pusat yang juga Ketua Wanita USIA Bahagian Semporna Datin Seri Hajah Rokiah Badar, Bendahari Wanita USIA Datin Laila Wahab dan Setiausaha Wanita Hajah Rubiah Nordin. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.