Puteri UMNO Sokong Penuh Malaysia Jadi Hub Halal Terbesar Asia – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Puteri UMNO menyokong penuh untuk Malaysia menjadi hub halal terbesar bagi seluruh asia.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kenyataan segelintir pihak mengenai isu halal ini mampu menggugat keharmonian dan perpaduan dalam negara sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Kenyataan segelintir pihak mengenai isu halal ini bakal menggugat keharmonian dan perpaduan dalam negara jika tidak dipantau dengan cermat.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, semua pihak perlu menjaga sensitiviti orang Islam untuk mengelakkan sebarang salah faham dan jangan menimbulkan kemarahan rakyat dengan kenyataan yang berunsur 3R (raja, agama, bangsa).

“Jangan cuba mencabar rakyat dengan kenyataan yang mengandungi isu 3R, ia bakal menimbulkan kemarahan rakyat!

“Kalau tak mampu berkata yang baik- baik, diam lagi bagus! Jaga sensitiviti orang Islam untuk elak salah faham.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyokong penuh untuk Malaysia menjadi hub halal terbesar seluruh asia,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberi amaran agar cadangan mewajibkan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan di negara ini tidak dipersoalkan secara terbuka kerana tindakan sedemikian hanya akan ‘merosakkan’ kestabilan dan keharmonian negara.

Ujarnya, sentimen setiap masyarakat perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya dibawa untuk diperbincangkan supaya ia dapat diteliti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.