Belajar Saling Menghormati… Jangan Cetuskan Suasana Tidak Harmoni – Pemuda UMNO Pahang

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pemuda UMNO Pahang hari ini membidas tindakan beberapa pemimpin berhubung kenyataan masing-masing mengenai beberapa isu yang dianggap boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Ketuanya Mohd Kamil Ibrahim menerusi catatan di Facebooknya berpandangan isu berkaitan soal halal sebagai contoh adalah bukan khusus kepada alkohol ataupun babi semata-mata.

“Dalam seminggu dua ini, banyak kenyataan yang keluarkan sedangkan mereka tidak boleh sesuka hati keluarkan kenyataan yang boleh mengugat keharmonian kaum dalam negara kita.

“Soal halal ini bukan babi dan alkohol semata-mata tetapi kebersihan penyediaan makanan pun diambil kira. Premis Islam pun banyak yang kena tarik sijil halal sebab banyak kes kotor, kebersihan diabaikan,” katanya.

Kata beliau lagi, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan dalam soal berkaitan halal berkenaan dan semua pihak seharusnya berlapang dada dan bukannya mencetuskan suasana yang tidak sewajarnya.

“Tiada benda nak dibimbangkan soal halal ni. Malah ramai yang non-Islam pun suka makan dekat mana-mana kedai yang ada tanda halal sebab mereka pun tahu makanan halal memang selamat dimakan tanpa was-was.

“Justeru berhentilah bercakap perkara-perkara seperti ini… belajarlah untuk hormat dan saling menghormati antara satu sama lain,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.