Aplikasi Pembangunan Modal Insan, Ambil Peluang Tingkatkan Kemahiran – Raime

TENOM, 10 Sept – Masyarakat pelbagai peringkat usia diseru untuk mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui pelbagai bidang bagi meningkatkan kemahiran diri yang bermula dari pendidikan awal sehinggalah kepada usia dewasa.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN dilantik), Datuk Raime Unggi yang mahukan rakyat dapat meningkatkan pembangunan modal insan dalam semua peringkat.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom, kerajaan melalui pelbagai saluran termasuklah KEMAS mempelbagaikan program pembangunan modal insan sebagai alternatif memajukan masyarakat.

“Pihak KEMAS mempelbagaikan program pembangunan modal insan dengan mengadakan program yang memfokuskan aspek TVET iaitu menyasarkan golongan belia selaras dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW ) dalam memperkasakan hal terbabit,” katanya.

Kata Raime yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat GiatMARA Daerah Tenom, masyarakat khususnya golongan belia di daerah ini juga boleh mengambil peluang menyertai kursus dan bengkel yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Ini termasuklah di Pusat GiatMARA Daerah Tenom yang ada menyediakan pelbagai program dalam usaha meningkatkan kemahiran untuk diaplikasi dalam pengetahuan yang lebih baik pada masa hadapan.”

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Program Simulasi Haji Cilik anjuran KEMAS Daerah Tenom, bertempat di Dewan Terbuka SK Pekan Tenom pada Sabtu lalu.

Program ini melibatkan pelajar- pelajar muslim yang berumur empat hingga lapan tahun yang melibatkan 150 pelajar daripada beberapa buah sekolah di daerah ini seperti Tadika KEMAS, SAN Pekan Tenom, SAN Chinta Mata, SJK (C) Tsi Sin, Tadika PASTI Al-Furqon, Tadika JHEAINS dan jemaah luar.

Jelas Raime, program ini diadakan dalam usaha mentarbiah serta mendedahkan para pelajar di peringkat awal mengenai ibadah haji.

Hadir dalam majlis ini, Penolong Pengarah (Unit Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran) KEMAS Negeri Sabah, Ahmad Bashir Aliakbar dan Pegawai KEMAS Daerah Tenom, Riyanti Mekail@Ibrahim. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.