Komitmen Malaysia, China Banteras Jenayah Rentas Sempadan – Ahmad Zahid

SHANGHAI, 9 Sept – Komitmen China terhadap Malaysia untuk kerjasama serta kolaborasi dua hala dalam usaha pembanterasan jenayah rentas sempadan adalah pada tahap tertinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu antara inti pati pertemuan dua hala bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong, selepas menyertai Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata hasil pertemuan itu, kedua-dua negara antara lain turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam beberapa aspek lain, termasuk peningkatan latihan bersama dan pertukaran pegawai tinggi dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.

“Selain membincangkan beberapa isu penting lain, pertemuan ini menjadi platform mempererat kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dengan Republik itu, terutamanya dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan.

“Komitmen China terhadap Malaysia adalah pada tahap yang sangat tinggi dan kami berharap ia akan terus diperkukuh, terutamanya dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke China hari ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.