Kekalkan Kestabilan Demi Kemakmuran, Tolak Main Isu 3R – Mohd Zaidy

JEMPOL, 9 Sept – Semua pihak perlu memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dengan sama-sama mengembleng usaha memastikan kestabilan demi kemakmuran yang diaplikasi sentiasa dilaksana.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa mana-mana pihak perlu menolak memainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam apa-apa juga keadaan.

Katanya, semua pihak khususnya ahli politik perlu mengelakkan bercakap soal isu 3R kerana ia boleh menggangu gugat ketenteraman dan perpaduan yang telah lama disemai.

“Isu berkaitan agama, perkauman dan institusi raja adalah perkara yang perlu dielakkan daripada diperbincangkan atau dijadikan bahan polemik malah ia adalah konsep yang telah disepakati secara umum dan perlu dijaga.

“Hal berkaitan 3R adalah amat sensitif dan boleh mengundang salah faham dalam konteks kerukunan masyarakat, maka kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak terlibat dengan perbuatan adu domba hal terbabit kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas Mohd Zaidy, dalam suasana bulan kemerdekaan yang masih hangat dirai sewajarnya sikap lebih bertanggungjawab digalas dengan mengetepikan apa-apa sahaja perkara yang boleh mengundang rasa kurang selesa antara kaum, agama dan bangsa.

“Masyarakat kita adalah majmuk, berbilang-bilang bangsa, ada pelbagai agama, suku kaum dan budaya tak sama tetapi kita dapat hidup aman dan rukun atas persefahaman yang disemai dan saling menghormati.

“Kerana itu mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R untuk apa-apa sahaja matlamat perlu ditolak dan diambil tindakan agar memberi pengajaran kepada orang ramai.

“Kita tak mahu ada perbincangan awam yang berbaur hasutan berkaitan 3R malah ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana berisiko merosakkan keamanan. Sebab itu kerajaan perlu memberi kata dua agar semua pihak tidak menyentuh isu-isu provokatif melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.”

Dilaporkan, iau berkaitan 3R boleh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit