Tampin Agrofest 2024 Usaha Kerajaan Negeri Bangunkan Pertanian Moden – Jalaluddin

TAMPIN, 8 Sept – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata program Tampin Agrofest ini merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk menghebahkan program dan aktiviti jabatan mahupun agensi Kerajaan serta untuk menyampaikan maklumat dan teknologi terkini kepada rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menjelaskan pelbagai faedah dan ilmu diperolehi melalui pameran teknologi atau temuan baru yang dijalankan oleh jabatan, agensi kerajaan dan swasta yang bersesuaian dengan sektor ini kearah pertanian moden dan perindustrian.

“Jangan kata kita tak cakna! Kerajaan konsisten untuk membangunkan sektor pertanian sebagai industri yang berupaya menjana ekonomi dan pendapatan rakyat. Tumpuan sedang dan akan diberikan untuk meningkatkan sekuriti makanan dan jaminan bekalan makanan.

“Menjelang tahun 2040, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan penduduk Malaysia dijangka mencapai jumlah 41.5 juta orang berbanding hanya 28.5 juta orang pada tahun 2010.

“Peningkatan yang ketara ini akan memberi kesan pembangunan terutama di kawasan perbandaran bagi memenuhi keperluan sumber bekalan makanan penduduk di masa akan datang,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menjelaskan sumber makanan yang di maksudkan di sini ialah padi dan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk juga penternakan, perikanan dan akuakultur.

“Dengan jangkaan peningkatan jumlah penduduk tersebut, isu yang dibimbangi adalah ketidakpastian kestabilan sumber bekalan makanan, dalam menjamin sekuriti makanan negara yang mencukupi.

“Ini disebabkan beberapa faktor iaitu, kadar sara diri atau self-sufficiency level (SSL) yang tidak mencukupi serta import bersih makanan yang semakin meningkat.

“Manakala, dari segi sekuriti makanan negara, Malaysia berada di kedudukan ke-43 dari 113 negara dalam Global Food Security Index atau GFSI laporan dari The Economist Intelligence Unit (2021). Justeru itu, menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) sistem makanan negara akan diperkukuh supaya lebih berdaya tahan terutamanya sebagai persediaan menangani krisis global, ” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Jelebu lagi bagi tahun 2025, mana-mana inisiatif dan bantuan sedia ada ini akan kita kekalkan, dan mana-mana inisiatif yang perlu ditambah baik, pihak Kerajaan akan menambah baik mengikut kemampuan kewangan kerajaan itu sendiri.

“Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan yang menjadi pendokong kuat kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap rakyat di Tampin ini akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan, dan kita bersama-sama membangunkan Negeri yang kita sayangi ini,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.