Umur Had 40 Tahun: Puteri UMNO Perlis Hargai Keprihatinan Presiden

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perlis menghargai keprihatinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai usul untuk menaikkan had umur sayap berkenaan ke 40 tahun.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Pergerakan Puteri Negeri Perlis, Siti Sokhleha Nordin berkata, usul tersebut dibawa untuk kesinambungan pelapis kepimpinan masa akan datang.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perlis menyambut baik keprihatinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi ruang kepada pembukaan perbincangan terhadap isu had umur Puteri meningkat ke 40 tahun.

“Secara umumnya, usul ini telah dibawa selama beberapa penggal bukan kerana inginkan jawatan dan pangkat, tetapi Pergerakan Puteri UMNO memikirkan kesinambungan pelapis pemimpin untuk masa hadapan serta kelangsungan parti UMNO yang kita cintai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau merayu agar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dapat meluluskan usul tersebut dalam usaha untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perlis merayu agar ahli MKT dapat memberikan ruang dan kepercayaan ini kepada sayap bongsu dalam UMNO untuk melaksanakan niat murni kami.

“Besar harapan kami agar parti ini terus relevan serta dapat mengembalikan semula kepercayaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT untuk diteliti dan diputuskan.

Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.