Malaysia-Poland Perkukuh Perkongsian Ekonomi Dan Strategik

PUTRAJAYA, 4 Sept – Malaysia dan Poland bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan menggalakkan keberdayatahanan rantaian bekalan berikutan persekitaran geostrategik yang mencabar.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski, yang dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia semalam.

“Kedua-dua pihak juga membincangkan peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan perkongsian sedia ada dalam pertahanan, pendidikan tinggi, pertanian dan pelancongan,” menurut kenyataan Kementerian Luar yang turut dikenali Wisma Putra semalam.

Ini lawatan pertama Sikorski ke Malaysia sejak pelantikannya pada Disember 2023, dengan Menteri Luar Poland itu diiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Pawel Ksawery Zalewski dan Timbalan Menteri Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar, Michal Kolodziejczak.

Wisma Putra berkata, kedua-dua pihak menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Poland susulan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala kedua di antara kedua-dua Kementerian Luar Negeri di Warsaw pada Jun lalu.

Menurut kementerian itu, kedua-dua menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Asia Barat dan konflik Russia-Ukraine.

“Malaysia juga menzahirkan sokongan kepada permohonan Poland untuk menandatangani Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC),” kata kenyataan sama.

Menurut Wisma Putra lagi, selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada penggal pertama 2025, Poland menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun hadapan.

“Malaysia juga optimis Poland akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh Kerjasama Strategik ASEAN-Kesatuan Eropah,” katanya.

Sikorski juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan lebih lanjut hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland yang telah lama terjalin dan mempamerkan potensi besar untuk dikembangkan.

“Mereka juga membincangkan prospek kerjasama bidang baharu, terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi digital,” menurut Wisma Putra, sambil menambah Sikorski mengulangi jemputan untuk Anwar melawat Poland pada 2025.

Pada 2023, Poland adalah rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam EU.

Sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, jumlah dagangan dua hala meningkat 14.7 peratus kepada RM3.05 bilion (AS$0.65 bilion) berbanding RM2.66 bilion (AS$0.57 bilion) bagi tempoh sama 2023. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.