‘Apa Jadi Pada Syarikat SG4 Jika Kerajaan Negeri PN Bertukar Tangan?’ – Puad

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal kewujudan State Government 4 (SG4) yang ditubuhkan membabitkan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, menjadi tanda tanya mengenai masa depan syarikat tersebut sekiranya negeri-negeri tersebut tidak lagi berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Apa akan jadi kepada Syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan. Terengganu, Kedah dan Perlis bukan mustahil dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Puad yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dalam pada itu turut berkata pelbagai isu rumit akan muncul kerana ia adalah perkongsian organisasi melibatkan empat negeri.

“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah 4 negeri berkongsi buat satu syarikat. Sanusi pula tidak suka kongsi kongsi. Takut Sanusi kata, “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi”.

“Justeru penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan. Apa lagi penasihatnya adalah Tun M,” ujar beliau.

Terdahulu, PN melancarkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) untuk tujuan kerjasama dalam bidang ekonomi melibatkan empat negeri di bawah pentadbiran gabungan itu.

Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri terbabit iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis masing-masing memiliki 25 peratus ekuiti syarikat tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.