Bukan Kepentingan Politik, JPKKP Ditubuh Bagi Mudahkan Urusan Bantu Rakyat – Junaidi

RANAU, 3 Sept – Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bukan atas kepentingan politik tapi ia adalah satu keperluan bagi memudahkan urusan kerajaan dalam mentadbir sesebuah kampung dan menggerakkan segala aktiviti kemasyarakatan selain menjadi medium penyaluran maklumat kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat berkata pelantikan wakil JPKKP bagi setiap kampung berdasarkan kepada kemampuan serta kelayakan mereka yang dilantik untuk merancang pembangunan di kawasan terbabit.

Katanya, mereka yang dilantik merupakan mata dan telinga kerajaan untuk menyampaikan segala dasar dan program selain menjadi agen menyampaikan isu-isu setempat khususnya berkaitan masalah rakyat kepada pihak berkuasa

“Mereka yang dilantik akan memikul satu amanah serta tanggungjawab yang besar dan diharapkan dapat memainkan peranan yang efektif sebagai perancang serta pelaksana program-program disetiap kampung yang mereka wakili,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah JPKKP di Dewan Masyarakat Kampung Kilimu dekat sini, baru baru ini.

Menurut Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GiatMara Ranau, penubuhan JPKKP merupakan satu langkah proaktif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar di peringkat akar umbi.

Junaidi berkata walaupun penubuhan JPKKP di negeri ini mendapat tentangan dari beberapa pihak dengan pelbagai tanggapan negatif kononnya akan memecah-belahkan rakyat namun ia tidak benar kerana mereka lebih mempolitikkan isu tersebut daripada memikirkan keperluan pembangunan demi kesejehteran rakyat.

“Satu ketika dahulu banyak pihak menentang pewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan di Sabah (JPPS), namun hakikatnya di sebalik penubuhan jabatan ini rakyat menerima limpahan projek pembangunan yang disalurkan kepada JPPS,“ katanya.

Sehubungan itu, Junaidi berharap mereka yang dilantik akan memegang amanah serta tanggungjawab yang diberikan bagi mewujudkan kampung yang sejahtera sejajar dengan konsep MADANI. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.