Kenapa Muhyiddin Tiada Pada Sidang Kemuncak SG4? – Gulam Muzaffar

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim mempersoal ketiadaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) yang dianjurkan baru-baru ini.

Menurut beliau, menambahkan lagi keanehan apabila ketua panel penasihatnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pemimpin Pejuang, yang tidak menganggotai PN.

“Pelik bin ajaib perkara sebesar Sidang Kemuncak SG4 yang dianjurkan oleh empat negeri PN tidak menjemput Muhyiddin yang merupakan selaku Pengerusi PN.

“Nak tanya sikitlah Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan ini adakah kerajaan Pas atau PN?? Keliru dibuatnya? Tak berkecil hati ke pemimpin dan ahli-ahli PPBM dan Gerakan yang diangkat menjadi Penasihat SG4 ialah Tun M, iaitu Pengerusi Parti Pejuang yang tidak mempunyai kekuatan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu menyifatkan Muhyiddin seperti disisihkan, sedangkan beliau adalah bekas Perdana Menteri yang perlu diberikan kehormatan untuk menerajui SG4 yang dibentuk membabitkan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Beliau dalam pada itu turut sama berharap ahli Parlimen Pagoh itu menginsafi diri bagi mendepani realiti masa hadapan gelap buat dirinya dan PPBM.

“Nampaknya peranan dan fungsinya sebagai Pengerusi PN seperti disisihkan sikit demi sedikit. Rasa kesian pun ada.

“Takkan Sekretariat SG4 tak peduli langsung tentang input dan cadangan bekas seorang PM yang juga masih mempunyai cita-cita untuk menjadi PM semula seperti apa yang disebut ketika PRK Nenggiri sebelum ini.

“Muhasabah dirilah Muhyiddin mungkin dalam masa terdekat dan tidak terkejut PPBM bukan lagi diperlu dan diharapkan oleh kepimpinan Pas kerana isu dan masalah yang sedang melanda parti PPBM dewasa kini yang cuma tinggal sahaja bakal meletuskan lahar apinya pada bila-bila masa,” ujar beliau.

Sementara itu, Ghulam turut mempersoal pelancaran syarikat SG4 yang bakal dimiliki 25 peratus pegangan saham dan kepentingan bagi setiap negeri yang kemudiannya akan diagihkan kekayaan dan keuntungan sama rata dalam kalangan empat negeri PN.

Katanya ia tidak mencerminkan model perniagaan yang mempunyai jangka masa yang panjang kerana sifatnya terus terang bersifat politik semata-mata.

“Bayangkan sekiranya PRN akan datang ada negeri dari 4 kalangan negeri berpindah dan beralih pucuk pimpinannya. Apa akan jadi SG4 ini??? Takkan nak tukar nama jadi SG3, SG2, SG1 atau SG0 pulak?

“Setahu saya sepanjang BN/UMNO memerintah negeri malah ketika zaman Tun M dalam UMNO menjadi PM selama 22 tahun tiada satu pun model perniagaan seperti SG4 yang dicadangkan oleh beliau, siapa ingat isu kawalan royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan dan tidak diagihkan secara telus.

“Yang ada pun zaman beliau cuma ada perjanjian antara negeri dalam menjalinkan kerjasama seperti pengurusan hasil bumi seperti air dan mineral,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.