Kesedaran Bantu B40, YTSPAI Beri Pendedahan Bantuan Guaman Kepada Pelajar Undang-undang
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kesedaran dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah mendorong Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim (YTSPAI) dengan menganjurkan Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024, hari ini.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata penganjuran ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar undang-undang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang bantuan guaman untuk diaplikasi sejurus berada dalam bidang perundangan kelak.
“Bantuan guaman adalah satu bidang yang amat mustahak terutama diperlukan oleh kumpulan B40 di mahkamah mahu pun untuk mereka memahami lebih mendalam undang-undang.
“Jadi hari ini kita menggembleng tenaga semua pelajar-pelajar universiti di fakulti undang-undang untuk bersama-sama memahami dengan lebih mendalam tentang isu ini.
“Kerana pelajar undang-undang ini apabila mereka graduasi, mereka lah yang akan membawa isu-isu perundangan di negara ini dengan cara lebih terperinci diserta pengetahuan lebih mendalam,” katanya.
Shahrizat berkata demikian selepas ditemui pada program tersebut yang diadakan di Asian International Arbitration Centre, di sini.
Turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) dalam pada itu berkata kerja-kerja kemasyarakatan seumpama ini sangat bermakna kepada golongan memerlukan yang merentasi sempadan politik.
Mengulas lanjut Shahrizat berbesar hati dengan penyertaan daripada kelompok pelajar universiti seluruh negara yang sudah tentunya memberikan ilmu baharu kepada mereka melalui perkongsian daripada panel-panel kompeten.
“Penyertaan hari ini memang menggalakkan nampak bahawa pelajar minat untuk mempelajari lebih mendalam tentang bantuan guaman kerana hari ini lain daripada masa dahulu jadi kena selalu perbaharui tentang ilmu dan pengetahuan,” ujar beliau.
YTSPAI adalah yayasan yang diinspirasi daripada dekan pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Melayu iaitu Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim yang dianggotai oleh alumni universiti berkenaan. – UMNO Online