Komitmen UMNO Bersama Rakyat, Santuni Bukan Sandiwara Politik – Awang Aslee

KUALA PENYU, 3 Sept – Usaha UMNO melaksanakan khidmat bakti terhadap masyarakat dilaksana berterusan tanpa mengira waktu dan bukannya sandiwara politik apabila menjelangnya pilihan raya.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, komitmen kepimpinan UMNO adalah usaha dan gerak kerja yang dilaksanakan secara berterusan demi memastikan masyarakat sedar bahawa parti ini sentiasa ada bersama mereka.

“Walaupun ada kekangan dan ada pelbagai kekurangan namun sedaya upaya kami akan meneruskan usaha turun padang sebagai satu komitmen iaitu menyantuni mereka yang ditimpa musibah, perlukan bantuan dan perhatian selain sokongan moral daripada UMNO yang sentiasa ada bersama mereka.

“Kepimpinan UMNO di akar umbi memainkan peranan yang sangat penting dalam menyampaikan maklumat dan menjadi jambatan kepada rakyat serta parti. UMNO ini ada dimana-mana sahaja dan kewujudannya perlu dirasai setiap masa,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah menziarahi Pg Husin Pg Mohammad di kediamannya di Menumbok ekoran baru keluar dari hospital setelah tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari pokok rambutan baru-baru ini.

“Alhamdulillah keadaan beliau bertambah baik dan tidak mengalami sebarang keceraan dalaman,” katanya.

Kunjungan tersebut turut disertai Naib Ketua bahagiannya, Md Rashid Mathon; Ketua Wanita Beaufort, Juriffah Safflie; Ketua Pemudanya, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya serta ahli jawatankuasa empat peringkat bahagian terbabit.

Awang Aslee bersama jawatankuasanya juga turut menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya Joste Marin di Kampung Lajau selain meraikan mempelai yang merupakan keluarga Jais Bauk di Limbawang, keluarga Dang Mesrah Edag di Kampung Palu Palu dan keluarga Azhari Mahat di Kampung Linsuk, di sini.

Sebelum itu, beliau telah bergerak melalui Biro Kebajikan UMNO Beaufort di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klias dan Kuala Penyu termasuk memberikan sumbangan kepada Dayang Normelissa Maziera Mazlan yang akan melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dalam masa terdekat.

Sumbangan Prihatin UMNO Bahagian Beaufort juga diberikan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Mempagar yang diterima sendiri oleh pengerusinya, Misdin Okrin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.