Ahmad Zahid Berbesar Hati bertemu PM New Zealand, Diskusi Agenda Penting

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang mengadakan lawatan rasmi ke sini selama tiga hari hingga Selasa (3 Sept).

Pertemuan tersebut menyaksikan pelbagai perbincangan disentuh membabitkan hubungan di samping memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

“Selesai sesi perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, saya terus ke Istiadat Sambutan Rasmi TYT Christopher Luxon, Perdana Menteri New Zealand yang diadakan di Dataran Perdana, Putrajaya.

“Beliau kini berada dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia, di mana pelbagai agenda penting akan dibincangkan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan New Zealand,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid pada perkongsian yang sama turut meluahkan harapan agar perbincangan tersebut memberikan manfaat kepada Malaysia dan New Zealand.

“Saya doakan semoga segalanya berjalan lancar dan berharap agar perbincangan yang akan berlangsung membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua negara, insya-Allah,” ujar beliau.

Untuk rekod pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (USD2.54 bilion). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.