Inisiatif Pemantauan Mantapkan Prestasi Ketelusan Wakil Rakyat Pemuda UMNO – Sollehin
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Pemantau Wakil Rakyat Pemuda UMNO sebagai langkah berani untuk memperkukuhkan prestasi dan integriti dalam kalangan wakil rakyat Pemuda.
Menurutnya, langkah ini diambil selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini sebagai usaha untuk memastikan setiap wakil rakyat Pemuda mencapai tahap prestasi yang tinggi dan berfungsi secara efektif.
“Penubuhan jawatankuasa pemantau wakil rakyat Pemuda UMNO pada PAU 2024 baru-baru ini adalah satu langkah yang proaktif untuk memastikan bahawa wakil rakyat Pemuda memenuhi ‘standard prestasi’ yang ditetapkan.
“Dalam konteks UMNO, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk mempertingkatkan ketelusan dan keberkesanan dalam melaksanakan tugas mereka serta memastikan setiap wakil rakyat berfungsi dengan optimum.
“Langkah ini mirip dengan sistem penilaian prestasi yang telah diterapkan oleh beberapa organisasi politik global. Sebagai contoh, Parti Konservatif di United Kingdom (UK) menggunakan sistem penilaian prestasi untuk memastikan wakil rakyat mereka memenuhi Key Performance Indicator (KPI) yang ditetapkan oleh parti dan di sini wakil rakyat yang gagal memenuhi KPI berisiko tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Beliau turut menjelaskan sistem seperti ini dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) boleh meningkatkan penglibatan dan prestasi wakil rakyat yang seterusnya memberi kesan positif kepada pengundi.
Seterusnya, Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda pula merupakan usaha yang signifikan untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga Felda termasuk isu perumahan, tanah dan peluang pekerjaan.
“Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda bertujuan meneruskan usaha tersebut dengan memberikan perhatian khusus kepada keperluan Felda di setiap kawasan. Sebagai contoh, pada tahun 2020, kerajaan Malaysia memperkenalkan Skim Perumahan Generasi Baharu Felda (SPGBF) untuk membantu generasi muda Felda memiliki rumah sendiri.
“Data menunjukkan bahawa sekitar 80 peratus daripada 112,635 peneroka Felda di Malaysia adalah dari generasi kedua dan ketiga yang sering menghadapi cabaran dalam mendapatkan peluang ekonomi dan perumahan yang baik.
“Dengan adanya jawatankuasa ini, diharapkan akan ada pendekatan yang lebih terarah dan berkesan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut seperti yang dibuktikan oleh kejayaan program-program terdahulu dalam meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan di kawasan Felda,” ujarnya.
Untuk rekod, terdapat lima orang wakil rakyat yang terdiri daripada Pemuda UMNO iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka; ADUN Larkin yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah.
Begitu juga ADUN Tanjung Surat juga selaku Exco Kerajaan Negeri Johor Aznan Tamin; ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar dan terkini ADUN Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. – UMNO Online