Pasca-PAU 2024: Langkah Proaktif Pemuda UMNO Depani Cabaran – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berpandangan penubuhan Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda adalah atas rasa tanggungjawab terhadap golongan muda terutama yang berada di dalam parti mahupun di luar parti.

Menurutnya, jawatankuasa ini amat signifikan bagi meluaskan lagi potensi dan mendepani cabaran alaf baharu warga belia Felda.

“Penubuhan jawatankuasa ini di seluruh kawasan Felda adalah lahir daripada kesedaran untuk membangunkan potensi dan bakat-bakat terpendam daripada rahim Felda yang selama ini terperam.

“Kita juga tidak boleh lupa, Felda masih lagi terbelenggu dengan krisis ekonomi, peluang pekerjaan, pemilikan tanah dan perumahan. Cabaran-cabaran ini mesti ditangani dengan hemat yang kolektif. Sejak berdekad Felda ditubuhkan, asas awalnya bermula untuk membangunkan bukan sahaja ekonomi bumiputera bahkan untuk membangunkan keupayaan-keupayaan lain.

“Sesungguhnya, UMNO sedaya upaya bertualang untuk memenuhi keperluan rakyat terutamanya kaum Melayu bumiputera. Dengan pengumuman kelulusan tersebut telah meningkatkan lagi peranan UMNO kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Pada masa yang sama kata Zuhir lagi, penubuhan jawatankuasa pemantau wakil-wakil rakyat Pemuda UMNO juga adalah langkah awal untuk memastikan keberkesanan wakil parti dalam menjalankan tuntutan tanggungjawab hakiki kepada masyarakat.

 

“Kepercayaan yang diberikan oleh UMNO kepada mereka mesti diuruskan dengan baik sesuai dengan keperluan rakyat. Sebagaimana yang digagaskan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh iaitu Pemuda mesti menjadi ‘Yang Berkhidmat’, bukan samata-mata ‘Yang Berhormat’.

“Gagasan ini amat signifikan dengan hasrat untuk mengangkat keperluan rakyat dan mengangkat harakat mereka.

“Maka, penubuhan jawatankuasa pemantau ini diharapkan dapat menjadi semak dan imbang kepada wakil-wakil rakyat Pemuda UMNO supaya lebih bekerja keras dan efektif dalam melayani keperluan rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merakamkan penghargaan pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menubuhkan beberapa jawatankuasa yang telah dicadangkan semasa Persidangan Pemuda UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.