Bung Moktar Minta Rakyat Ingati, Insafi Perjuangan UMNO Raih Kemerdekaan, Tolak Sentimen Negatif

KOTA KINABALU, 2 Sept – Setiap tahun tarikh 31 Ogos akan ada sambutan Hari Kemerdekaan yang diraikan secara besar-besaran di seluruh negara maka ia sewajarnya menjadi ruang untuk rakyat dan ahli-ahli UMNO mengingati malah juga menginsafi sejarah perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sejarah kemerdekaan Malaysia adalah sebuah kisah kejayaan hasil daripada perjuangan yang gigih atas kesatuan rakyat iaitu dari zaman penjajahan hingga ke era kemerdekaan dan perjalanan ini mengajar betapa pentingnya perpaduan, kesabaran dan keberanian dalam menuntut hak dan kebebasan.

Katanya sejarah perjuangan untuk kemerdekaan Malaysia tidak bermula secara tiba-tiba kerana ia adalah hasil daripada gerakan nasionalisme yang berkembang sepanjang awal abad ke-20.

“Antara organisasi yang memainkan peranan penting ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO memainkan peranan utama dalam usaha meraih kemerdekaan melalui rundingan dengan pihak British,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, peranan serta sumbangan UMNO bukan sahaja menuntut kemerdekaan dari British namun selepas kemerdekaan dicapai UMNO telah memberikan peranan serta sumbangan besar dalam mengisinya membawa negara menjadi aman makmur dan terus membangun.

“Namun ketika ini sebilangan rakyat khususnya generasi muda melupai sejarah, lebih malang ada di kalangan pemimpin yang dahulu bersama-sama UMNO kini telah berpindah ke parti lain turut memperlekehkan perjuangan UMNO yang banyak berjasa dan meletakkan mereka dalam keadaan serba senang,” katanya.

Bung mengambil contoh apa yang berlaku di Sabah mutakhir ini iaitu masih ada suara-suara sumbang yang memperlekeh jasa serta sumbangan UMNO kepada negara dengan memainkan pelbagai sentimen antaranya ‘anti Parti Malaya’ sedangkan UMNO sudah bertapak di Sabah selama 33 tahun termasuk pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun serta membawa banyak kebaikan.

Beliau berkata, UMNO memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.

“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, UMNO telah melahirkan semangat integrasi nasional yang kukuh antara rakyat negeri ini dengan pemimpin dan rakyat di Semenanjung dengan Sabah serta Sarawak,”katanya.

Bung menambah sentimen yang dimainkan oleh beberapa individu dan tokoh politik di negeri itu melibatkan isu-isu etnik dan bangsa yang sering diuar-uarkan dari pelbagai penjuru sama ada melalui kenyataan dan juga turut dimuat naik di media sosial.

“Cerminan wajah perpaduan selama 67 tahun negara Merdeka akan tercalar akibat tercetusnya sentimen etnosentrisme ini, yang akan memberikan kesan terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan demi untuk mencapai keharmonian dan kemajuan negeri,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, wajah perpaduan seharusnya dilakari dengan pengukuhan identiti nasional iaitu kriteria utama sebagai rakyat Malaysia yang mendukung ikrar Rukun Negara.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan bulan kemerdekaan ini dijadikan peluang oleh para pemimpin dan anggota akar umbi untuk merapatkan saf bagi menguatkan semula parti.

“Inilah masanya untuk kita gunakan ruang dan peluang yang ada dalam bulan kemerdekaan untuk kita imbau kembali sejarah perjuangan sambil tautkan silaturahim sesama ahli parti, masyarakat dan komuniti pelbagai etnik. Mudah-mudahan UMNO akan kembali bangkit, meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.