Hari Kemerdekaan: Ahmad Zahid Seru Rakyat Kukuhkan Perpaduan, Jati Diri Negara Berdaulat
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan dan jati diri sebagai sebuah negara berdaulat.
Menerusi hantaran video di laman Facebooknya, hari kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ ini amat bermakna untuk seluruh rakyat hayati.
“Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun ini amat bermakna untuk kita hayati apa itu semangat cintakan negara. Bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, menuntut seluruh rakyat Malaysia bersatu hati.
“Kukuhkan perpaduan dan jati diri sebagai sebuah negara yang berdaulat. Bukan mudah untuk kita mencapai kemerdekaan.
“Bukan mudah juga kita untuk membangunkan sesebuah negara. Tetapi, kita harus berdiri teguh mempertahankan kemerdekaan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan rakyat Malaysia untuk menghargai dan mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi selama 67 tahun ini.
“Begitu juga dengan kejayaan kita membentuk Malaysia. Hari Malaysia pada 16 September amat signifikan dengan tarikh keramat kita 31 Ogos yang harus kita banggakan.
“Hargailah dan kekalkanlah nikmat yang kita kecapi ini demi anak bangsa. Ayuh, kibarkan jalur gemilang. Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. Merdeka!” katanya.
31 Ogos merupakan tarikh yang bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia meraikan nikmat kemerdekaan di samping menginsafi perjuangan dilakukan oleh para pejuang dalam mendapatkannya.
Hari Malaysia yang diraikan setiap 16 September turut memberi simbolik penting kepada perpaduan tanah Melayu dan borneo, membentuk negara kita pada hari ini. – UMNO Online