Hayati Perjuangan Kemerdekaan Negara Dipelopori UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak semua pihak untuk sama-sama menghayati nilai dan perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga negara merdeka yang dipelopori oleh UMNO.

Ujarnya, kemerdekaan adalah jasa terbesar UMNO yang mempelopori semangat nasionalisme, memupuk kesatuan dikalangan bangsa Melayu dan membawa iltizam untuk patriotisme ke seluruh negara.

“Tarikh 31 Ogos adalah Hari Kebangsaan. Sungguh sejahtera tanah air kita dapat meraikan sambutan kemerdekaan ke-67 dalam suasana harmoni yang masyarakatnya hidup secara majmuk, pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama serta budaya berbeza.

“Ini semua bukanlah datang secara tiba-tiba tetapi melalui satu perjalanan yang panjang setelah perjuangan membebaskan negara dari belenggu penjajah menjadi realiti.

“Sempena Hari Kebangsaan, marilah kita sama-sama hayati nilai dan perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga negara merdeka. Inilah jasa terbesar UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, ada cabaran dan macam-macam liku dihadapi tapi manfaat yang anak bangsa hari ini kecapi adalah hasil daripada perjuangan kepimpinan UMNO iaitu semangat untuk merdeka dan membentuk kesatuan yang besar di seluruh pelusuk negara.

“Alhamdulillah. Dalam usia UMNO melepasi 78 tahun dan negara merdeka 67 tahun, maka perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara dengan politik kesederhanaan yang disemai membuahkan hasil.

Rakyat pelbagai bangsa, berkongsi kehidupan yang harmoni dan saling memupuk perpaduan selaku kunci kelestarian Malaysia.

“Terima kasih UMNO, syukur Malaysia kekal sejahtera, marilah semai ‘Jiwa Merdeka’. Selamat Hari Kebangsaan ke-67,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.