Allahyarham Arman San Wira Kebanggaan Lahad Datu – Sharif Musa

LAHAD DATU, 30 Ogos – UMNO Bahagian Lahad Datu turut sama berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop, Johor.

Ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul memaklumkan bahawa beliau bersama anggota jawatankuasa UMNO bahagian terbabit telah menziarahi keluarga allahyarham di kediamannya, di sini.

“Saya dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lahad Datu, Nor Milah MadBaral, wakil dari Ketua Wanita UMNO Bahagian, Royanie Rafael berserta AJK bahagian menziarah ayah dan ibu Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa di Kg. Simpang Osman Batu 6 Lahad Datu, hari ini.

“Al-fatihah buat wira kami dari Lahad Datu, Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa. UMNO Bahagian Lahad Datu mendoakan semoga Alllahyarham ditempatkan bersama para syahidin.

“Semoga juga para keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini. Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa adalah wira dan kebanggaan kami rakyat Lahad Datu,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam kunjungan tersebut beliau turut memberikan bantuan kewangan dan bakul makanan kepada keluarga Allahyarham.

Dilaporkan, Allahyarham Arman San, 28, berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api. Jenazahnya telah dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan di sini.

Sebelum itu, jasad Allahyarham Arman San dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Sapagaya, Silam dan solat jenazah dilakukan di surau berhampiran. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.