Jangan Lupa Sejarah, UMNO Pelopor Perjuangan Kemerdekaan – Haryaty Hamdzah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – 67 tahun Malaysia merdeka dan ini adalah satu perjalanan yang panjang dalam proses kemerdekaan yang telah dituntut oleh pejuang-pejuang terdahulu.

Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah menasihati pada generasi muda agar jangan lupa pada sejarah bahawa negara ini mendapat kemerdekaan hasil dari pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

“Perjuangan kemerdekaan yang dilaksanakan oleh UMNO ini haruslah sentiasa diingati dan dihargai. Kita kena sama-sama memperingati peristiwa sejarah tidak kira siapa pun sama ada generasi muda ataupun sebaliknya malah selagi menjadi rakyat Malaysia ia mesti diingati. Kita harus memperingati proses bagaimana hendak mencapai kemerdekaan dan mempertahankan merdeka ini dengan pelbagai cara.

“Kita mahu melihat bangsa Malaysia bersatu padu, mempunyai nilai-nilai positif yang membina Malaysia ke arah yang lebih baik. Semua pihak harus berganding bahu dan kita tidak boleh lagi berpecah-belah kerana negara lain semakin maju, jiran-jiran negara kita pun semakin maju dan kita mahukan negara ini disegani seperti dulu, kini dan selamanya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka berkata sikap patriotisme perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia. I

“ni kerana kemerdekaan yang dikecapi bukan dicapai dalam masa yang singkat tetapi berlangsung dalam suasana yang dramatik dan tidak harus kita lupakan bagi mengekalkan kesinambungan kemerdekaan yang telah dicapai.

“Semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya hanya timbul dalam perjuangan menuntut kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata kerana dalam keadaan aman pun ia seharusnya menjadi pendorong kepada setiap rakyat untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh membangun dan memajukan negara ini.”

Tegasnya, semangat patriotisme adalah penting kepada semua lapisan rakyat sesebuah negara tidak kira sama ada petani, nelayan, kakitangan awam atau seorang buruh sekalipun.

“Semua pihak perlulah mempunyai semangat kecintaan yang menebal ke atas negara.

“Hal ini mustahak kerana negara kita didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik yang begitu ketara,” katanya lagi.

Tambah Haryaty lagi, walaupun negara ini mempunyai perbezaan dari segi ideologi, kaum dan parti politik, sepatutnya ia tidak dijadikan sebagai suatu halangan kepada usaha untuk memakmurkan negara.

“Akibatnya jika rakyat negara kita meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti politik sebagai lebih utama daripada negara tentulah pembangunan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai.

“Tanpanya… individu dan masyarakat akan berpecah-belah kerana masing-masing lebih menumpukan kepada diri atau puak masing-masing dan melupakan tanggungjawab mereka terhadap negara,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.