Wanita UMNO Sabah Diminta Perkukuh Kedudukan, Tunjang Utama Hadapi PRN Ke-17 – Noraini Idris

KOTA KINABALU, 31 Ogos – Wanita UMNO khususnya di Sabah perlu memperkukuhkan kedudukan sebagai tunjang parti dalam menghadapi cabaran dunia politik terutama menjelang Pilihan Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris berkata, sebagaimana amanat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini dan selepas kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, tumpuan akan beralih kepada PRK DUN Mahkota dan seterusnya PRN Sabah dengan membawa misi besar iaitu mengembalikan kegemilangan UMNO Sabah.

“Tugas ini bukannya sesuatu yang mudah walaupun Wanita UMNO menerima pujian dari Presiden dalam gerak kerja yang dilakukan semasa PRK Nenggiri, seharusnya Wanita UMNO tidak leka dan berpuas hati dengan pujian tersebut namun perlu melipat gandakan usaha khususnya kepada jentera di Sabah kerana bakal menghadapi PRN yang akan menentukan masa depan UMNO di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas PAU di WTC Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam hal ini, Noraini yang juga exco Wanita UMNO Malaysia mengajak jentera Wanita UMNO khususnya di Sabah agar bekerja keras dan mengatur strategi yang tepat bagaimana untuk mencapai kemenangan.

“PRK Sabah akan diadakan selewat-lewatnya bulan Oktober tahun hadapan, bagaimanapun tidak mustahil ianya diadakan lebih awal dari jangkaan, kerana itu Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti perlu bersedia memikul tugas serta amanah yang diberikan bagi mempastikan UMNO akan mencapai kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.

Menurut Noraini, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, Wanita UMNO khususnya di Sabah mempunyai tugas untuk menyantuni pengundi, justeru perlu turun padang bagi memastikan pengundi-pengundi memberikan kepercayaan kembali kepada parti.

Katanya, tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah malah ianya agak mencabar namun dengan semangat kerjasama dengan permuafakatan serta mengelak perseteruan sesama sendiri maka kejayaan pasti akan dapat dicapai.

“Bukan satu kerja mudah, terutama dengan defisit kepercayaan dialami UMNO sejak PRU14, setiap sayap parti khususnya Wanita UMNO perlu komited dan fokus kepada perjuangan dan melakukan pembaharuan segera, terancang dan bersasar,” katanya.

Tambah Noraini ianya selaras dengan gesaan Presiden UMNO yang mahu anjakan dilakukan setiap komponen parti iaitu seiring perubahan dinamika politik negara.

“Dengan kepesatan teknologi digital dan media sosial maka ia mampu mempengaruhi arah fikiran serta sokongan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.