Jiwa Komuniti Madani Semarakkan Kemerdekaan, Hayati Perjuangan UMNO – Mohd Zaidy
JEMPOL, 29 Ogos – Menjelang sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru semua masyarakat pelbagai bangsa untuk sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Katanya, sejarah dan perjuangan kemerdekaan perlu dihayati dengan memahami bagaimana sukarnya para pemimpin terdahulu mahu menggerakkan aliran nasionalisme yang dipelopori UMNO lantas mengecap nikmat kemerdekaan.
“Melalui Program Jiwa Komuniti Madani yang dilaksanakan semalam, kita telah mengadakan perarakan pelajar-pelajar sekolah dan simbolik penyerahan Jalur Gemilang agar kibaran bendera ini dapat mencerikan seluruh kawasan di sini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, acara sedemikian adalah alternatif terbaik bukan sahaja untuk mewujudkan semangat cintakan tanah air tetapi juga menyemai perpaduan di kalangan masyarakat yang terdiri dengan pelbagai bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.
“Keceriaan dan kebersamaan dalam masyarakat ini dicetuskan hasil daripada kesinambungan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan maka kita diperingkat DUN menyambutnya dengan meraikan bersama warga setempat di sini,” katanya.
Jelas Mohd Zaidy, apa yang dilaksanakan oleh kepimpinan UMNO di akar umbi ini juga adalah sebagai bukti bahawa anggota parti berusaha mengaplikasi segala pesanan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengembalikan parti berada dalam kedudukan dominan.
“Sebagai anggota kerajaan, kita akan terus bekerja dan memastikan kesejahteraan rakyat malah setiap peluang akan membuka ruang kepada semua pihak untuk mencari titik persamaan atas kemaslahatan negara.
“Walaupun dalam Kerajaan Perpaduan namun UMNO dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan menyokong kerjasama antara parti untuk menubuhkan sebuah negara yang mempunyai masa depan stabil dan rakyatnya dapat hidup rukun, aman dan makmur.
“Inilah nilai kemerdekaan yang perlu terus kita pelihara bersama, keamanan dan kestabilan yang dikecapi hasil perubahan landskap politik masa kini. Seperti kata Presiden juga, usaha-usaha untuk memastikan agar UMNO terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan lanskap amat penting malah kita perlu manfaatkannya,” katanya lagi.
Terdahulu beliau turut sama menyertai acara konvoi bermotor membawa Jalur Gemilang serta sesi ‘walkabout’ di samping memeriahkan jualan Rahmah untuk penduduk setempat. – UMNO Online