Pas Bisu Kerana Masih Keliru Siapa ‘Dajal’ – Puad

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Pas sebagai keliru untuk melihat kebenaran termasuk ‘dajal’ yang dipernah dimaksudkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Demikian sindiran beliau berikutan pendakwaan yang disabitkan mahkamah terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatan kerana ia melibatkan integriti.

“Muhyiddin sepatutnya letak jawatan sebagai Presiden PPBM dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Tidak payahlah guna alasan bahawa dia belum dihukum bersalah.

“Ini berkaitan integriti. Dia didakwa rasuah kerana isu Jana Wibawa. Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R. Menantunya belum menyerah diri dan Bersatu kalah teruk di Nenggiri.

“Muhyiddin patut contohi Najib. Dia letak jawatan bila BN kalah PRU14. Ketika itu dia belum didakwa pun. Tetapi kenapa dengan ‘baggage’ yang berat masih mahu kekal jawatan. Pas bisu kerana masih keliru siapa ‘dajal’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu pada semalam, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.

Sebelum itu, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh terbabit yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat laporan dibuat terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Polis menerima 30 laporan polis berkaitan ucapan Muhyiddin dan serama 66 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.