Wanita UMNO Sabah Fokus Santuni Rakyat, Tumpu Sokongan Pengundi – Noraini Idris
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Wanita UMNO Sabah memberikan tumpuan penuh untuk menarik sokongan pengundi atas pagar yang dikenalpasti berpotensi untuk mencorakkan keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketuanya, Senator Datuk Noraini Idris berkata, langkah ini efektif sebagaimana kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri sekali gus pengundi atas pagar menjadi antara penyumbang besar kepada majoriti calon BN di DUN berkenaan.
Katanya, fokus Wanita UMNO Sabah pada PRN17 ini bukan sahaja mengutamakan aktiviti menyantuni rakyat yang cukup sinonim dengan jentera Wanita tetapi juga fokus kepada menarik sokongan pengundi atas pagar.
“Kita melihat pengundi atas pagar di Sabah ini sudah matang, mereka dapat melihat serta menilai sendiri bagaimana corak pemerintahan setiap parti utama di Sabah.
“Ini kerana semua parti utama sudah pun pernah menjadi kerajaan yang mentadbir negeri ini.
“Sudah tentu pengundi akan memilih siapa parti terbaik sekali gus memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur Sabah termasuk kemudahan jalan raya, bekalan air serta elektrik selepas sekian lama menjadi isu utama membelenggu rakyat di Sabah,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas mengenai calon kalangan Wanita UMNO Sabah dalam PRN17 ini, Noraini berkata, pihaknya mengharapkan agar lebih ramai calon wanita ditampilkan bertanding pada PRN17 Sabah akan datang.
“Pada PRN16 lalu Wanita UMNO Sabah hanya diberikan dua kerusi bertanding pada Dewan Undangan Sabah (DUN) Sekong dan Kukusan.
“Kita sangat mengharapkan pada PRN17 Wanita UMNO Sabah diberikan lebih banyak kerusi sekali gus lebih ramai calon wanita akan ditampilkan selaku pemimpin kelak,” jelas Noraini.
Menurutnya, pihaknya melihat dalam kalangan calon wanita ini ramai yang berkebolehan serta berkaliber serta sangat berpotensi untuk menang dalam PRN Sabah.
“Pucuk pimpinan perlu memberi ruang serta peluang kepada calon wanita…. Kita yakin boleh menang, jika tidak diberikan peluang bagaimana mengetahui calon wanita ini mampu untuk membuktikan boleh menang serta menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti,” kata Noraini.
Katanya, Wanita UMNO Sabah berharap pertimbangan dari pucuk kepimpinan parti sebagai menghargai peranan serta sumbangan Wanita sebagai jentera utama parti.
“Walau bagaimanapun, cadangan ini hanya bergantung kepada tempat atau kerusi yang akan diberikan oleh pucuk pimpinan nanti sekali gus akan diumumkan bila tiba masanya kelak.
“Jika boleh biarlah lebih daripada kerusi diberikan pada PRN16 lalu, kita yakin wanita dapat menyumbang kemenangan pada PRN17 ini,” tambah Noraini lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid