Majlis Ulama UMNO Kesal Cara Berpolitik Pas Gelar Dajal

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Majlis Ulama UMNO (MUU) menzahirkan kekesalan atas sikap dan cara berpolitik di pentas demokrasi yang keras dan kasar ditampilkan oleh Presiden Pas dengan menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai lebih ‘dajal’ daripada ‘dajjal’.

Menerusi satu kenyataan media MUU memaklumkan bahawa politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baharu masyarakat Malaysia.

“Naratif politik sebegini akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong dan ahli Pas dan UMNO awal 80-an menerusi cetusan amanat-amanat dan ucapan-ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional pada 2019.

“Umum umat Islam mengenali susuk ‘dajal’ menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa alaihissalam di akhir zaman sebelum Qiamat.

“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia.”

Sehubungan itu, MUU mengajak semua pihak khususnya para alim ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi Malaysia dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11.

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, janganlah ada satu kelompok mempersendakan satu kelompok yang lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah para wanita mempersendakan wanita-wanita lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah kamu mencela diri sendiri dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk nama adalah kefasikan selepas keimanan. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah sebenar-benar orang-orang yang zalim.”UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.