PRK Nenggiri: Kemenangan BN Bawa Mesej Perpaduan, Akhlak Islam

ALHAMDULILLAH. Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan menerusi Yang Berhormat (YB) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri. Tahniah juga kepada YB Awi. Dan tahniah kepada semua pengundi dan petugas pilihan raya khususnya daripada BN dan Kerajaan Perpaduan yang turun memakmurkan pentas demokrasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

2. Kemenangan BN adalah satu mesej bahawa agenda perpaduan yang diangkat oleh BN bersama rakan-rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan telah membuka hati sebahagian besar pengundi di DUN Nenggiri. Agenda pembangunan holistik yang terus ditawarkan kepada rakyat diiringi dengan komitmen integriti adalah menepati kehendak Islam yang bermatlamat memakmurkan kehidupan rakyat dalam sebuah negara dari sudut fizikal dan spiritual.

3. Pendekatan damai yang dibawa oleh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan dengan turun rumah ke rumah menyantuni pengundi membuahkan hasil di samping ceramah-ceramah kelompok yang dijenamakan sebagai ‘taqarrub’ bermaksud ‘mendekati rakyat’ yang dilakukan secara agresif.

4. Pentas demokrasi sewajarnya dimakmurkan dengan hujah ilmu berfakta tanpa mencipta persepsi dan tawaran pembangunan holistik untuk kesejahteraan rakyat yang disertai dengan akhlak Islam tanpa tuduh-menuduh melibatkan peribadi. Itulah yang telah berjaya ditampilkan oleh BN dan Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRK. Tahniah kepada semua yang berjaya mengangkat agenda besar Islam ini.

5. Kemenangan besar dengan majoriti lebih daripada 3 ribu ini perlu menjadi perangsang untuk BN dan Kerajaan Perpaduan terus mengangkat agenda bersama untuk kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. – UMNO ONLINE

Oleh:
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Timbalan Pengerusi, Majlis Ulama UMNO
17 Ogos 2024 / 12 Safar 1446 H

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.