Sokong Wanita Yang Ingin Terus Bekerja… Azhar Dapatkan Penjelasan Di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Keprihatinan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan mendorong Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad untuk bertanya kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkenaan kaedah kerajaan dalam membantu golongan ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas turut bertanya langkah kementerian bagi memastikan wanita yang bekerja ini juga mampu memberi kadar kelahiran yang baik.

“Apakah pandangan dan rancangan seterusnya yang akan diambil oleh kementerian dalam menyokong wanita yang ingin terus berkhidmat kepada awam dan swasta?

“Pada masa yang sama juga, kementerian nak memastikan kadar kelahiran ibu-ibu yang sedang berkhidmat dan berbakti negara tidak terkesan,” katanya.

Azhar berkata demikian pada sesi persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Menjawab persoalan itu, Noraini berkata KPWKM sentiasa komited melalui pelbagai usaha dan inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan wanita dalam pembahagai bidang termasuk dalam tenaga buruh.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata beberapa inisiatif dilaksanakan oleh kementerian, salah satunya adalah usaha untuk memastikan tempat bekerja kondusif melalui pengukuhan undang-undang seperti pengubalan akta anti gangguan seksual dan pindaan akta kerja.

“Untuk menggalakkan wanita kekal dan kembali bekerja, kita perlu menyediakan kemudahan dan sokongan yang diperlukan.

“Kita memang menggalakkan syarikat awam dan swasta seperti mengadakan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, pusat asuhan kanak-kanak dan sebagainya. Dan dalam waktu yang sama kita juga melaksanakan program pembangunan kepasti termasuklah pengukuhan kemahiran dan pengurusan kewangan, pengurusan life balance, pembangunan kepimpinan wanita.

“KPWKM juga sedang merangka satu rangka strategi industri penjagaan bagi membantu meningkatkan penyertaan 60 peratus wanita dalam bidang pekerjaan. Insya-Allah disamping bekerja, mereka juga dapat juga membantu meningkatkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) sekarang ini tapi kita perlukan kerjasama pada semua pihak,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.