KESUMA Sentiasa Proaktif Pastikan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja Ditingkatkan – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia adalah terendah berbanding negara Jepun, United Kingdom dan Australia.
Katanya, ini adalah berdasarkan rekod menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) iaitu sejumlah 34,216 kes kecederaan dengan kadar kecederaan pekerjaan negara bagi Malaysia pada tahun 2022 adalah 2.22 per 1000 pekerja.
Jelasnya, KESUMA sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi memastikan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ini dapat dipertingkatkan.
“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) melalui Seksyen 29A juga telah menetapkan keperluan untuk melantik Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Coordinator) bagi semua tempat kerja yang mempunyai bilangan pekerja seramai lima orang atau lebih bagi membantu dan menasihati majikan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Pelantikan OSH-Coordinator yang mempunyai pengetahuan berkenaan KKP dijangka dapat meningkatkan pematuhan perundangan oleh pihak majikan dan seterusnya mencegah berlakunya kemalangan dan penyakit pekerjaan
“Pelbagai inisiatif telah dibangunkan dan akan terus dilaksanakan seiring dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022 yang telah bermula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan dari Datuk Awang Hashim (PN- Pendang) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah kemalangan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan (KKP) yang telah direkodkan dan apakah pendekatan terkini yang diambil dalam meningkatkan kesedaran berkaitan KKP dalam kalangan majikan termasuk Perusahaan kecil Sederhana (PKS).
Tambah Abdul Rahman, terdapat beberapa program yang sedang dan telah dilaksanakan berkaitan PKS.
“Program OSH Compliance Support – Program ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi bagi meningkatkan tahap KKP di Sektor PKS.
“Pelaksanaan program pengurusan KKP yang bersistematik iaitu Verifikasi dan Peningkatkan Aras KKP Secara Berperingkat untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana atau Stepwise OSH Level Verification and Enhancement for Small and Medium Enterprise (SOLVE 4 SME) untuk meningkatkan tahap pengurusan KKP di PKS,” katanya lagi. – UMNO Online