‘Pau’ Sehingga Rosakkan kelulusan Projek: Shaiful Cabar MB Kedah Lapor SPRM

KUALA LUMPUR, 11 JUN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor disaran agar melaporkan kepada pihak berkaitan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya mengenai rasuah sehingga merosakkan kelulusan projek di negeri tersebut.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online menegaskan perkara berkenaan adalah satu dakwaan yang amat serius dan Menteri Besar Kedah itu perlu membuat laporan mengenainya.

“Menteri Besar Kedah ada mengatakan bahawa beliau sudah merancang macam-macam untuk Negeri Kedah tetapi tidak dapat direalisasikan kerana orang PKR dan Dap makan rasuah atau ‘pau’ duit daripada projek sehingga merosakkan kelulusan.

“Patut la tak ada satu projek pun yang siap di Negeri Kedah. Litar lumba tak dapat bayang, KXP dah macam tak ada jalan, 2.5 Billion Tahira macam dah bungkus, LRA tunggu sampai 2026. Umum macam burung kakak tua tetapi satu habuk pun tak ada rupanya kerana ada orang ‘pau’.

“Baru-baru ini Sanusi kata pihak swasta yang bersalah apabila pelaburan tak jadi, kali ini ada orang PKR dan Dap ‘pau’ pulak. Semakin hari, Sanusi semakin tunjukkan yang dia sangat merapu,” katanya.

Kata beliau lagi perkara tersebut turut mendapat perhatian pimpinan kerajaan hari ini apabila Rafizi Ramli menyarankan Sanusi untuk membuat laporan mengenainya kepada pihak yang berkaitan.

“Rafizi menyarankan Sanusi untuk membuat laporan SPRM ke atas orang yang ‘pau’ dia. Saya cabar Sanusi untuk bawa perkara ini kepada SPRM dan heret orang itu ke muka pengadilan. Jelaskan perkara ini secara betul jangan hanya cakap kosong.

“Sanusi harus buktikan bahawa dia tidak menabur fitnah dan bersikap seperti seorang pemimpin ‘jantan’. Berani cakap, berani ambil tindakan. Jangan biarkan orang tertawa melihat keperibadian kamu sebagai seorang Menteri Besar.

“Nasihat saya kepada Sanusi, jangan kamu cuba memperbodohkan orang Melayu dengan cerita dongeng karut-marut. Buat laporan SPRM terhadap pelaku kerana rakyat Kedah mahu melihat siapakah yang bersikap korup dan punca kepada negeri Kedah ini tidak maju,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit