Perutusan Presiden UMNO Sempena Mesyuarat Perwakilan Bahagian Dan Sayap Bahagian

PERUTUSAN
SEMPENA MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN,
WANITA UMNO BAHAGIAN, PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN DAN
PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN.

(21 JUN – 29 JULAI 2024)

Segala puji hanya milik ALLAH SWT. Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, para tabiin dan ulama, serta seluruh ahli UMNO yang saya kasihi. Mudah-mudahan kita akan dilimpahi inayah-NYA di dunia dan akhirat. Semoga dipermudahkan urusan kita melaksanakan tanggungjawab di dalam Perlembagaan UMNO untuk menekuni Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bagi Tahun 2024 ini.

Pada tahun lalu, persidangan diadakan serentak dengan pemilihan kepimpinan baharu di semua 22,000 cawangan yang disusuli 191 Bahagian. Persidangan tahunan kali ini adalah medan untuk penghulu-penghulu UMNO-UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pemuda UMNO Bahagian dan Puteri UMNO Bahagian membugarkan kembali ‘benih’ pengukuhan UMNO yang direncanakan setahun lalu, agar lebih subur dan menjadi pohon rendang yang berpacak memayungi segenap hati rakyat.

Memasuki tahun kedua kita beradaptasi dengan dinamika siasah baharu yang saya sifatkan sebagai ‘jihad politik’ demi kelangsungan UMNO. Agenda memperkasa dan pembaharuan UMNO mesti diperhebatkan. UMNO mesti menjadi jurucakap bangsa dan pemudahcara rakyat. UMNO bukan sahaja mesti mendengar luahan rakyat, tetapi menyelami hati nurani serta kepayahan rakyat bawahan. Kalau bukan UMNO yang memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu, siapa lagi?.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian inilah tempat pemugaran idea untuk merencana gerak kerja mendekati rakyat. Bermula di meja mesyuarat UMNO Cawangan yang melibatkan ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan terus ke Mesyuarat Bahagian, saya mewakili seluruh kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memberi jaminan akan mendengar dan meneliti segala cadangan serta idea yang dikemukakan, asalkan membawa kebaikan untuk parti UMNO yang dikasihi ini.

UMNO mesti memandang kehadapan. Inilah masanya untuk menunjukkan rasa kecintaan terhadap parti keramat ini. UMNO adalah parti yang banyak berjasa, jangan kita malu untuk pamerkan kebanggaan ini, sayangilah UMNO dengan sepenuh jiwa raga. Dengan cara ini sajalah kita akan terus ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ kepada anak watan.

78 TAHUN UMNO MENABUR JASA,
DEMI PERTAHAN PUSAKA HATI BANGSA,
TIDAK KIRA BADAI DATANG MELANDA,
DULU, KINI DAN SELAMANYA PAYUNGI RAKYAT JELATA

Selamat bersidang. Semoga kesatuan, kesepaduan serta kesaksamaan kita menjulang wadah perjuangan UMNO ini dibalas dengan kebaikan dan beroleh keberkatan di sisi ALLAH SWT.

DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN UMNO

**************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.