Isu Kalimah Allah: Sewajarnya Rakan-rakan Politik Saran Pihak Berkuasa Segerakan Siasatan

KUALA LUMPUR, 3 April – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin beranggapan bahawa sewajarnya rakan-rakan politik lain menyarankan pihak berkuasa menyegerakan siasatan mengenai penjualan stoking tertera kalimah Allah agar pesalah dapat dihukum dengan undang-undang yang ada.

Menerusi hantaran video di laman Instagram, beliau berpendapat bahawa kedai rangkaian serbaneka KK Mart itu culas dalam mengendalikan stok dan memasarkan stoking tersebut.

“Saya nak komen sikit tentang kenyataan-kenyataan yang mula menunding jari kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh. Dakwa mereka, koktel molotov dibaling ke premis-premis perniagaan KK Mart adalah disebabkan beliau.

“Terang-terang salah ini adalah KK Mart sebab mereka culas dalam mengendali stok dan memasarkan stoking yang jelas sekali menghina agama Islam. Dr Akmal Saleh hanya menyuarakan bantahan sebelum pun ada mana-mana pihak berkuasa ambil tindakan.

“Setelah titah Yang di-Pertuan Agong, barulah kita nampak ada tindakan-tindakan yang drastik daripada pihak berkuasa. Seruan untuk memboikot ni adalah gerakan kesedaran sebagai pengguna. Hak kita, demokrasi, pilihan masing-masing. Ada yang nak ikut, ikut. Ada yang tak nak ikut, tak apa, tak ada paksaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong itu turut menegaskan bahawa gerakan memboikot KK Mart langsung tidak ada kena-mengena dengan tindakan keganasan.

“…dan tak ada lagi lah kena-mengena dengan tindakan keganasan, act of terror, baling koktel molotov. Jadi saya rasa ni adalah dua perkara yang cukup berbeza, cukup simplistik… lagilah untuk kita kaitkan kedua-duanya seolah ada kaitan bersamaan.

“Saya nak tanya juga, kenapa tak bangkitkan sekali untuk menyalahkan gerakan memboikot Starbucks, McDonald’s, KFC? Kenapa beria-ria sangat mempertahankan KK Mart? Apa istimewa mereka?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan rasa terkilan kerana pihak yang mempertahankan kalimah Allah ini ditunding sebagai pesalah.

“Jadi saya berpandangan beginilah, sewajarnya kawan-kawan politik yang lain sarankan pihak berkuasa segerakan siasatan dan dedahkan siapa dalang dan hukum ikut undang-undang yang ada.

“Apa yang buat saya rasa terkilan, pihak yang pertahankan kalimat Allah ni ditunding salah. Tetapi yang menjual menghina kalimah Allah ini pula, dipertahankan. Rasa tak patut. Logiknya luar biasa yang ada fikiran macam ni. Jadi sama-sama lah kita fikirkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit