Norliza Adakan Kunjungan Hormat Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Bincang Potensi Kerjasama Dengan PTPTN

PULAU PINANG, 2 April – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim, semalam, mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah potensi kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PTPTN bagi kelangsungan pendidikan anak-anak di negeri terbabit.

“Antara yang dicadangkan adalah Program Anak Emas sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpanan SSPN) dalam menggalakkan masyarakat melabur untuk tujuan pendidikan generasi akan datang.“

Ujarnya, PTPTN turut mencadangkan ganjaran Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang dicadangkan berbentuk SSPN yang mana ia memerlukan rujukan lanjut daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit